Dewasa ini, kita melihat istilah “pemuda” dan “mahasiswa” sering
dikaitkan dan ditempelkan sebagai “Agen Perubahan”. Hal ini demikian kerana
mereka cukup dikenali sebagai kaum intelektual muda, bahkan daripada mahasiswalah tertumpunya sebuah harapan dalam membangunkan pelbagai aspek baik untuk
masyarakat, negara mahupun Islam. Melalui harapan yang tertumpu inilah, telah
tergalasnya tanggungjawab besar dalam memacu perubahan positif. Pemuda dan
mahasiswa jugalah yang bakal mewarisi peradaban dunia. Daripada semangat pemuda
jugalah munculnya gerakan-gerakan Islam dalam lembaran sejarah yang telah
membawa perubahan positif dan luar biasa kepada peradaban dunia.
Sejarah
menceritakan tentang kegigihan Khalid bin Walid, seorang panglima perang yang
hampir semasa keislamannya, sisa umurnya digunakan untuk berperang
memperluaskan wilayah Islam sehingga ke Damsyiq. Kita juga tahu bagaimana
gigihnya Saad Bin Abi Waqash, juga merupakan seorang pemimpin perang yang mana
ketika sedang dalam keadaan sakit dapat membawa kemenangan bagi kaum Muslimin
dalam mempertahankan wilayah Irak. Pada abad pertengahan, kita juga
diperlihatkan tentang kegigihan seorang pemuda yang menaklukkan Konstantinopel,
Muhammad al-Fatih. Walaupun beliau pernah mengalami masa-masa kegagalan dalam
serangannya dan juga dalam memimpin negerinya, ayahnya tetap menyerahkan
kekuasaan kepadanya di usia yang sangat muda, yang akhirnya berjaya menakluk
Konstantinopel. Di Barat, kita juga menjumpai kegigihan seorang Abraham Lincoln
untuk membawa Amerika Syarikat keluar daripada kancah perang saudara yang
sedang menimpa pada waktu itu. Walaupun turut beberapa kali mengalami kegagalan
dalam hidupnya, namun akhirnya beliau dilantik sebagai Presiden Amerika
Syarikat pada tahun 1860 dan merupakan salah seorang presiden terbaik yang
pernah tercatat dalam sejarah Amerika Syarikat.
Semua kejayaan dan hasil
kegigihan tokoh-tokoh di atas tidak lepas daripada keyakinan mereka
terhadap ideologi yang mereka miliki. Ideologi merupakan pemangkin dalam
perjuangan yang menumbuhkan sebuah tekad. Tekad merupakan nafas dalam sebuah
perjuangan. Perjuangan sendiri merupakan sarana untuk mencapai sebuah cita.
Itulah yang membuatkan Muhammad Al-Fatih pantang pulang sebelum menakluk Konstantinopel.
Bahkan, bukan tidak mungkin tidak, ideologi itu pula yang menyebabkan seorang
Abraham Lincoln dapat menyesuaikan diri dengan kegagalan-kegagalan yang
diraihnya, hingga dia mampu melampaui kegagalannya dan menuju sebuah
kemenangan. Justeru, ideologi merupakan syarat yang harus dimiliki oleh setiap
pemuda demi memacu sebuah perubahan.
Menurut Soerjono Soekanto
perkataan “Ideologi” ditakrifkan sebagai kumpulan gagasan idea, keyakinan,
kepercayaan yang menyeluruh dan sistematik yang mencakupi bidang politik,
sosial, kebudayaan dan agama. Ideologi mempunyai tiga sifat iaitu dimensi
realiti, dimensi idealisme dan dimensi fleksibiliti.
Dimensi realiti: nilai yang terkandung dalam dirinya bersumberkan
daripada nilai yang hidup dalam masyarakat, sehingga mereka betul-betul
merasakan dan menghayati bahawa nilai-nilai dasar itu adalah milik mereka
bersama.
Dimensi idealisme: ideologi itu mengandung cita-cita yang ingin dicapai
dalam pelbagai bidang kehidupan bermasyarakat, berbangsa dan bernegara.
Dimensi fleksibiliti: ideologi itu memberikan penyegaran, memelihara
dan memperkuat sifat relevannnya dari waktu ke waktu, bersifat dinamis dan
demokrasi.
Kejayaan tidak akan digapai tanpa sebuah ideologi yang memberi
keyakinan kepada diri terhadap pilihan dan jalan perjuangannya. Maka yang
diperlukan oleh seorang pemuda Islam adalah ideologi Islam atau yang tidak
bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah. Pemuda tanpa ideologi adalah pemuda
tanpa arah ibarat kapal tanpa nakhoda yang berlayar ke mana pun mengikut arah
angin yang meniupnya.
Mahasiswa dan
ideologi yang diyakininya bagaimanapun sebelum ini banyak diwarnai dengan
pelbagai gerakan yang tidak atau kurang berani dalam memperjuangkan ideologi
Islam. Begitu pun dengan pemuda Islam yang berjalan tanpa Ideologi Islam, maka
mereka sudah pasti akan tersesat dan jauh daripada kehidupan yang Islami,
kerana bagi pemuda yang berjalan tanpa ideologi sudah tentu mereka berjalan
tanpa arah dan tujuan.
Mahasiswa sebagai aktivis dakwah kampus haruslah menjunjung tinggi
nilai-nilai ideologi keislaman yang tentu bersumber dari al-Quran dan hadis.
Mereka haruslah menjadi generasi-generasi yang mengumandangkan al-Quran dan
hadis dalam kehidupan kampus untuk mewujudkan biah kampus yang madani, tentunya
yang sesuai dengan bahasa masyarakat kampus.
Kebanyakan pemuda dan mahasiswa hari ini terlalu ghairah
mengedepankan retorik berbanding ideologi dan inilah yang mengakibatkan mereka
lupa akan jati diri seorang pemuda. Bahkan boleh jadi hal ini akan menjangkiti
semangat-semangat para beberapa aktivis dakwah di kampus. Justeru, seorang
aktivis dakwah perlu berhenti sejenak demi bermuhasabah dan merenung kembali
untuk mengisi semangat-semangat ideologi keislaman supaya perjuangan-perjuangan
dakwah yang mereka bawa akan mendatangkan manfaat yang lebih besar kerana
didasari oleh ideologinya.
Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah “Ashaabul
Kahfi” dan “Ar-Raqiim” itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang
membuktikan kekuasaan Kami? [al-Kahfi:9]
Kita melazimi sunnah pembacaan Surah al-Kahfi pada setiap hari
Jumaat. Sudah pasti kita tertanya mengapakah pemuda-pemuda ini menyembunyikan
diri ke dalam gua? Tidakkah mereka patut berusaha menyebarkan dakwah kepada
masyarakat sekeliling? Di sini, ada pengajaran yang boleh kita teladani.
Tidak dinafikan semangat orang muda dalam membuat banyak perkara
samada berkaitan dengan dakwah, organisasi persatuan itu amat memberangsangkan.
Tetapi semangat ini perlulah selari dengan kerelevanan suasana, tempat dan masa
yang betul. Ketika itu, pemuda al-Kahfi membuat pilihan terbaik untuk
kepentingan dakwah dan kelangsungan iman mereka menepati suasana semasa. Mereka
tidak lari daripada realiti dan tanggunjawab dakwah itu kerana pada ketika itu
raja yang memerintah negara tersebut sering bertindak zalim terutama kepada
mereka yang beriman kepada Allah.
Oleh sebab itu, di celah kerosakan masyarakat yang kurang sesuai
penyebaran dakwah itu dilaksanakan dan ditambah pula dengan ketiadaan golongan
berilmu yang memberi sokongan untuk mendidik masyarakat, maka menyembunyikan
diri buat mereka adalah jalan yang terbaik kerana dikhuatiri mereka juga akan
tergoda dengan rayuan orang sekeliling.
Memetik kalam Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad
al-Bakri, “Saya tidak kagum dengan mahasiswa yang hanya bersemangat. Apa yang
saya kagumi adalah pemuda yang disulami ilmu, ditambah dengan akhlak yang
tinggi dan pemikiran yang cukup besar dan memberikan makna bahawa inilah yang
sebenarnya Islam bawa…”
Realiti hari ini, menyembunyikan diri tidak lagi sesuai ditambah di tengah-tengah
masyarakat yang dahagakan didikan tarbiah yang sempurna. Namun sikap berjaga-jaga dan menilai sesuatu perkara
sebelum dilaksanakan itu perlu dilakukan dalam setiap aspek agar perancangan
dakwah dan islah itu tidak hanya tergendala di atas kertas kerja dan cadangan
sahaja tetapi berjaya dibumikan di padang masyarakat dengan subur.
Sejarah gerakan mahasiswa merupakan salah satu bukti, kontribusi,
kewujudan, dan peranan serta tanggungjawab mahasiswa dalam memberikan perubahan
dan memperjuangkan kepentingan rakyat. Peranan mahasiswa terhadap bangsa dan
negera bukan hanya duduk di depan meja dan media sosial, akan tetapi mahasiswa
juga berperanan sebagai generasi penerus yang melanjutkan dan menyampaikan
nilai-nilai kebaikan pada suatu kaum, sebagai generasi pengganti yang
menggantikan kaum yang sudah rosak moral dan perilakunya, dan juga sebagai
generasi pembaharu yang memperbaiki dan memperbaharui kerosakan dan
penyimpangan negatif yang ada pada sesebuah kaum. Apabila peranan ini dijadikan
sebagai sebuah pegangan dan mencambahkan ideologi bagi seluruh mahasiswa, roh
perubahan akan sentiasa bersemayam dalam diri masing-masing.
Ayuhlah wahai mahasiswa, kita besarkan pemikiran dalam memaknai
ideologi sejurus bertindak dengan intelektualisme, idealisme, dan keberanian
yang kita miliki untuk memberi kebaikan dan memacu kemajuan bangsa, negara dan
ummah, sehingga seperti kata Hasan al-Banna “goreskanlah catatan membanggakan
bagi umat manusia”.
Oleh:
Nor Afifah Fitriah Binti Mohd Shukri
Tahun 4, Kuliah Perubatan,
Universiti Iskandariah.
Rujukan:
http://www.dakwatuna.com/2013/03/30/30171/mahasiswa-dan-ideologinya/#axzz41OjBru5V
http://jundusyabab-kenalikami.blogspot.com.eg/
http://langitilahi.com/16740/
https://www.facebook.com/PergerakanMahasiswaIslamIndonesiapmii/posts/447760395301085
http://suryanusa.blogspot.com.eg/p/ideologi.html?m=1
https://www.facebook.com/drzulmuftiwp/photos/a.427172850756033.1073741829.423534687786516/675835739223075/?type=3
DROP YOUR QUESTION OR RESPOND HERE
EmoticonEmoticon